Tuesday, January 26, 2010

Pembayaran Balik Skim Pelaburan Swisscash


Soalan Lazim

S1:
Apakah status terkini saman sivil yang diambil oleh SC terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti Swisscash?


J:
SC memperoleh penghakiman atas persetujuan bersama dengan Albert Lee dan Amir Hassan pada 6 November 2009 yang mana mereka bersetuju membayar kepada SC sejumlah RM30 juta yang akan digunakan untuk membayar ganti rugi kepada pelabur berkenaan.


S2:
Bilakah pelabur boleh mendapat kembali wang mereka?


J:
Walaupun SC mahu supaya bayaran dibuat secepat mungkin, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil termasuk menyerahkan kriteria kelayakan kepada mahkamah, melantik Pentadbir, memasukkan iklan di surat khabar dan sebagainya. Oleh itu, kami mengharapkan bayaran bagi kumpulan pertama dapat dibuat pada awal tahun depan.


S3:
Apakah yang akan berlaku sekarang? Apakah langkah yang akan diambil oleh SC?


J :
Langkah 1:

SC akan melantik seorang Pentadbir dan akan bekerjasama dengan Pentadbir tersebut dalam menyediakan kerangka kerja bagi kelayakan pembuat tuntutan dan pelan pengagihan kepada mahkamah.

Langkah 2:

Mendapatkan perintah mahkamah bagi meluluskan kerangka kerja tersebut.

Langkah 3:

Pentadbir akan menguruskan pemprosesan tuntutan, termasuk mengiklankan tuntutan dan membuat keputusan mengenai kelayakan pelabur.

Langkah 4:

Pelabur yang layak akan diberitahu dan pembayaran akan dibuat.


S4:
Bagaimanakah anda memutuskan mengenai kelayakan pelabur?

J:
Mereka yang layak adalah mereka yang mempunyai bukti mencukupi mengenai pelaburan pokok mereka dan tidak terlibat dalam skim itu sebagai pengambil ahli baru. Sekiranya keuntungan telah diperoleh daripada pelaburan pokok mereka, keuntungan itu akan ditolak daripada jumlah yang dituntut. Pembuat tuntutan perlu menunjukkan bukti bertulis mengenai pelaburan mereka dalam skim tersebut. Selain itu, ada kriteria lain yang akan diambil kira, umpamanya sama ada mereka melabur dalam skim tersebut walaupun telah diberi amaran oleh pihak berkuasa.



S5:
Berapa banyak yang saya layak terima?

J:
Itu bergantung pada sama ada anda telah memenuhi semua kriteria kelayakan atau pun tidak khususnya bukti bertulis tuntutan anda.



S6:
Apakah bukti yang perlu saya serahkan kepada SC?

J:
Sila kemukakan bukti pelaburan anda dengan skim pelaburan Swisscash, salinan kad pengenalan atau pasport dan bukti pembayaran kepada Swisscash melalui pemindahan telegrafik, pemindahan bank atau perbankan Internet. Kami hanya boleh membuat bayaran ganti rugi kepada pelabur yang boleh membuktikan yang mereka telah melabur dengan Swisscash dan kerugian pelaburan pokok mereka. Tuntutan boleh diproses dan diluluskan dengan segera jika bukti disertakan bagi membantu juruaudit menaksir tuntutan anda.



S7:
Saya hanya mempunyai salinan fotostat bayaran yang telah saya buat kepada skim Swisscash. Bolehkah saya mengemukakan tuntutan?

J:
Ya, anda masih boleh mengemukakan tuntutan tetapi itu tidak menjamin anda berjaya dalam tuntutan anda.



S8:
Bagaimana sekiranya saya tidak mempunyai bukti pembayaran kerana saya telah menyerahkan wang tunai kepada 'upliner'?

J:
Anda mungkin tidak akan mendapat kembali pelaburan anda kerana pembayaran perlu ditadbir berdasarkan syarat yang ketat.



S9:
Mengapakah SC hanya memperoleh RM30 juta sedangkan penghakiman yang diperoleh pada 25 September 2008 ialah AS$83 juta?

J:
Penghakiman AS$83 juta adalah jumlah yang disebut dalam saman yang kami failkan terhadap Albert, Kelvin & Amir Hassan. Bukti yang kami kumpulkan semasa siasatan menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan jumlah keseluruhan pelaburan yang dibuat oleh pelabur Swisscash adalah AS$83 juta. Jadi, pada masa membuat permohonan kehakiman di mahkamah, kami menyebut jumlah pelaburan maksimum yang dibuat.

Jika kami berjaya mendapatkan semula semua jumlah yang dapat dijejaki di seberang laut, jumlahnya mungkin hampir kepada RM31 juta.



S10:
Bolehkah saya mendapat semua wang saya kembali?

J:
Memandangkan SC mempunyai tabung tetap untuk membayar ganti rugi kepada pelabur, iaitu RM30 juta, kami perlu menaksir jumlah keseluruhan pelabur terbabit yang mengemukakan tuntutan dan juga faktor kelayakan yang disebut di atas. Juga, pelabur akan dibayar ganti rugi berdasarkan jumlah pelaburan pokok yang mereka buat sahaja. Keuntungan akan ditolak daripada amaun pelaburan.

S11:
Sebelum ini saya telah mengemukakan aduan kepada SC. Perlukah saya mengemukakan semula aduan saya?

J:
Sekiranya anda pernah mengemukakan rayuan sebelum ini kepada Jabatan Hal Ehwal Pelabur kami, anda tidak perlu mengemukakannya semula kecuali anda mempunyai bukti tambahan bertulis bagi menyokong tuntutan anda.



S12:
Saya melabur selepas SC mengeluarkan amaran di lama webnya pada 5 September 2006. Bolehkah saya mendapat wang saya semula?

J:
Ada kemungkinan anda tidak akan mendapat pelaburan anda semula jika anda melabur selepas tarikh etrsebut. Bagaimanapun, SC akan mencadangkan tempoh kelonggaran yang bersesuaian bagi memastikan bahawa pelabur yang mungkin tidak tahu mengenai skim penipuan ini akan dibayar ganti rugi.



S13:
Saya membantu menarik pelabur lain menyertai dan melabur dalam skim tersebut. Adakah saya layak mendapat semula wang saya?

J:
Antara syarat layak untuk mendapat ganti rugi adalah sama ada pelabur itu terlibat secara aktif dalam menarik orang lain ke dalam pelaburan tersebut dan dengan itu dianggap bersubahat dalam skim penipuan ini. Mana-mana pelabur yang terlibat dalam skim tersebut sama ada dengan menarik ahli baru atau menjadi 'upliner', tidak layak menuntut wang mereka.



S14:
Apakah yang berlaku kepada wang yang berada dalam bidang kuasa asing yang cuba diperoleh semula oleh SC?

J:
Kami tidak akan meneruskan usaha ini memandangkankan penghakiman dengan persetujuan bersama tersebut bertujuan membolehkan SC menggunakan wang yang diserahkan oleh defendan bagi tujuan pembayaran kepada pelabur.



S15.
Saya adalah pelabur asing. Adakah saya boleh mendapat wang saya kembali?


J:
Tuntutan anda akan diproses bersama tuntutan pelabur lain. Anda perlu memberikan bukti yang mencukup bagi menyokong tuntutan itu. Bagaimanapun, kami juga perlu memutuskan sama ada syarat-syarat berasingan diperlukan untuk pelabur asing dan syarat-syarat ini akan diserahkan kepada mahkamah untuk disahkan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails